PETALING JAYA: Wanita KEADILAN melancarkan program Wanita KEADILAN Jelajah Kampung (Wajah) dalam usaha memberi maklumat kepada pengundi wanita luar bandar termasuk di Felda, estet, ladang dan penempatan orang asal.
Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin berkata, program berkenaan akan bermula 2 Julai ini, susulan konvensyen pilihan raya yang dianjurkan KEADILAN pada Ahad lalu.
Menurutnya, sekatan media terhadap Pakatan Rakyat mendesak sayap parti itu merangka strategi untuk mencapai khalayak terutama golongan wanita yang membentuk hampir 50 peratus pengundi di negara ini.
“Maklumat ini akan disalurkan secara terus kepada mereka untuk menyekat berita tidak benar dan maklumat palsu dari terus meracuni persepsi mereka yang akan memberi kesan kepada KEADILAN dan Pakatan Rakyat,” jelasnya ketika mengumumkan program berkenaan di Ibu Pejabat KEADILAN, Petaling Jaya hari ini.
Menurutnya lagi, kesibukan karier dan menguruskan rumah tangga menyebabkan kelompok itu tidak terdedah kepada maklumat kerana sumber informasi Pakatan Rakyat yang terhad melalui medium ceramah dan internet.
Justeru, Zuraida yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Selangor berkata, Wanita Keadilan menetapkan 13 lokasi bagi pelancaran program berkenaan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan, manifesto Wanita KEADILAN pada pilihan raya umum lalu berjaya mencapai sasaran penglibatan 30 peratus wanita dalam pentadbiran kerajaan di negeri Pakatan Rakyat.
“Di Pulau Pinang seratus peratus Yang Dipertua (YDP) majlis perbandaran adalah terdiri dari kaum wanita. Terbaru, di Majlis Perbandaran Kuala Selangor, wanita juga yang dilantik sebagai YDP.
“Pendekatan Wanita di negeri Pakatan Rakyat lebih progresif. Kita mahu memartabatkan peranan wanita. Berbanding Indonesia dan Filipina, Malaysia sebenarnya jauh ketinggalan. Laporan Forum Ekonomi Dunia (WEF) menunjukkan kedudukan Malaysia adalah di tangga 101 dari 132 negara,” jelas Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang.
Sementara itu Naib Ketua Wanita KEADILAN, Haniza Talha yang mengendalikan program Wajah di peringkat negeri Selangor memaklumkan, ia merupakan kesinambungan program Jelas (Jelajah Selangor Tawan Malaysia) yang dilancarkan Jun lalu.
Katanya, KEADILAN melipatgandakan usaha mendekati wanita, memandangkan golongan itu adalah kelompok paling kurang mendapat pendedahan mengenai isu melibatkan mereka.
“Pimpinan wanita KEADILAN sendiri yang akan turun untuk mendengar masalah dan pandangan mereka berhubung pentadbiran kerajaan. Maklumat ini memberikan input terhadap program-program yang bakal dilaksanakan.
“Jelajah Wajah akan merubah pandangan dan persepsi mereka terhadap Pakatan Rakyat,” katanya dengan penuh yakin.
Dalam sidang media yang sama, Wanita KEADILAN turut melancarkan logo Wajah dengan warna merah-biru sebagai tema bagi program berkenaan.
No comments:
Post a Comment